NEGARA KITA TANGGUNGJAWAB KITA
(Pemenang Pertama Pertandingan Penulisan Esei Patriotisme Menengah Atas)
 
        Slogan hari kemerdekaan pada tahun ini ialah "Negara kita tanggungjawab kita".
Slogan ini amat bersesuaian dengan konteks negara pada zaman madani ini.
Sewaktu kita menongkah arus siber, tanggungjawab yang dipikul oleh setiap
lapisan masyarakat adalah amat besar. Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya
prihatin dan bertanggungjawab terhadap negara kita dan tidak menjadi pembelot
kepada negara.

 
        Memang tidak dinafikan bahawa hampir 99% rakyat Malaysia dilahirkan di
Malaysia. Malaysia merupakan ibu pertiwi kita. Siapakah yang akan menjalankan
aktiviti seharian di tanah tercinta ini? Jawapannya sudah pasti ialah kita yang menjadi
anak jati Malaysia. Jikalau kita berupaya untuk melaksanakan tanggungjawab kita
sebagai warganegara Malaysia, siapakah yang lebih layak untuk menyandang
jawatan ini? Pandatang asing? Orang luar? Ataupun Pertubuhan Bangsa-bangsa
Bersatu? Oleh itu kita hendaklah menjadi rakyat yang sentiasa berpegang kepada
"Di mana bumi berpijak, disitulah langit dijunjung" dan "Hujan emas di negara orang,
hujan batu di negara sendiri, lebih baik di negara sendiri".

 
        Kita tidak sewajarnya mempratikkan prinsip hidup ibarat kacang lupakan kulit.
Kita sayugia berterima kasih kepada negara kita yang telah memberi kita kesenangan
dari segi material ataupun kesejahteraan. Kita seharusnya bersyukur atas apa yang
kita ada sekarang. Cuba kita tinjau negara Afghanistan atau negara China, negara-
negara tersebut sering dilanda dengan tindakan "keparat" komplot berhaluan kiri
seperti peperangan dan pemberontakan ataupun yang lebih parah iaitu bencana
alam seperti banjir dan wabak penyakit. Lantaran itu, satu kaedah yang paling mudah
dan berkesan untuk membalas jasa negara kita ialah menunaikan kewajipan kita
dengan sempurna dan bertanggungjawab.

 
        Kemajuan dan wawasan 2020 hanya akan menjadi kenyataan jikalau setiap
rakyat berhasrat dan berkomitmen tinggi untuk menjayakannya. Kejayaan di depan
mata bukan diperoleh dengan mudah sahaja, tetapi dengan usaha dan ketabahan hati
semua rakyat. Justeru itu, untuk membolehkan negara kita mara ke depan dan
mengecapi kejayaan, kesanggupan seluruh rakyat Malaysia untuk melaksanakan
tugas masing-masing amat diperlukan. Sedikit-sedikit lama-lama menjadi bukit,
impian negara tentu akan tercapai jikalau kita bekerja keras dalam memainkan
peranan kita sebagai rakyat Malaysia. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih,
mustahil kita akan berjaya jikalau negara kita tidak mendapat sokongan sepenuh hati
daripada rakyat. Mustahil juga kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi
dengan negara-negara maju di dunia jikalau kita tidak berusaha.

 
        Malang itu selalunya tidak berbau, negara kita sekarang ibarat sudah jatuh
ditimpa tangga. Masalah-masalah umpama jerebu, kegawatan ekonomi dan krisis
air di Lembah Kelang tidak pernah berhenti. Masalah ini bukan sahaja tidak dapat
diselesaikan, malahan lebih buruk jikalau rakyat kita tidak bersikap optimis. Janganlah
menjadi penderhaka kepada negara dalam saat-saat genting ini. Jangan hanya prihatin
terhadap masalah negara lain, tetapi mengabaikan negara sendiri. Sikap kera di hutan
disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan patut dikikis supaya barah yang tumbuh
di negara kita dapat diubati. Hanya semangat tanggungjawab yang ada pada jiwa
setiap rakyat dapat meleraikan kemelut yang kita hadapi.

 
        Apakah peranan dan tanggungjawab yang harus ditanggung oleh setiap rakyat
Malaysia? Sebagai kerajaan, mereka harus memeras otak berikhtiar untuk mencari
jalan penyelesaian bagi sesuatu krisis. Bagi ahli korporat pula, mereka tidak patut
menghilangkan diri kerana berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Dari sudut rakyat
jelata pula, mereka harus berusaha bersungguh-sungguh kerana mereka merupakan
bakal pemimpin pada masa akan datang.

 
        Saya percaya hanya azam yang kuat dan semangat bertanggungjawab dapat
memimpin negara kita melangkah ke alaf baru. Jangan membiarkan negara kita terus
jatuh ke lembah kehinaan. Semangat seperti enau melepaskan pucuk masing-masing
patut ditinggalkan demi kesejahteraan hidup dan yang lebih penting keharmonian
negara.

 
Oleh : Tham Wai Hong ( 5 Sc 1)