"Hancurnya Harapan Seorang Bapa"
 
        Syahdunya laungan azan yang bergema di Subuh hari. Menandakan masuknya
waktu solat Subuh. Burung-burung berdendang riang sambil terbang mencari
makanan. Fajar mula menyingsing dari ufuk timur untuk menerangi alam. Syahdunya
subuh pada hari itu.

 
        Suasana Kampung Sungai Siput sunyi! sepi bagai tiada penghuni. Damai sekali.
Apa tidaknya, kebanyakan penduduknya telah keluar mencari rezeki sejak Subuh hari
lagi. Pak Hashim, begitulah gelaran yang diberi kepada salah seorang penduduk yang
bekerja sebagai nelayan di kawasan perkampungan tersebut. Pak Hashim dikenali
ramai oleh penduduk kampung kerana sifatnya yang pengasih dan tekun untuk
membesarkan cahaya matanya. Pak Hashim merupakan seorang lelaki tua yang
tidak mengenal erti kepenatan dan kesusahan. Pak Hashim bekerja dari terbitnya
fajar sehingga tenggelamnya sang suria. Pak Hashim melakukan semua perkara ini
adalah kerana semata-mata untuk menyara kedua-dua orang permata hati
kesayangannya, iaitu Nur Atikah yang berusia 11 tahun dan Mohd Aiman yang
berusia 6 tahun. Permaisurinya sudah lama meninggal dunia dan pada saat itu
jugalah, Pak Hashim telah memikul satu tanggugjawab yang amat berat bagi dirinya.
Dia juga ibu dan dia jugalah bapa kepada kedua-dua cahaya matanya itu.
Pak Hashim mempunyai dua harapan yang tinggi menggunung iaitu dia ingin melihat
kedua-dua permata hatinya itu berjaya dan dia ingin mengecapi kebahagian di
samping anak-anaknya.

 
        Walaupun Pak Hashim bekerja sehari suntuk, namun dia tetap menjalankan
tugasnya sebagai seorang bapa. Pak Hashim tidak lupa memberikan didikan yang
sempurna untuk kedua-dua orang anak kecilnya itu. Anaknya dijaga dengan penuh
kasih-sayang dan adab sopan-santun orang timur. Pak Hashim menjaga mereka
bagaikan menatang minyak yang penuh. Pak Hashim juga digelar sebagai Bapa
Mithali.

 
        Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun silih berganti. Kini Nur Atikah
berusia 27 tahun dan merupakan seorang pengarah urusan di sebuah syarikat yang
terbesar di Kuala Lumpur. Kejayaan ini adalah berkat usaha gigih Pak Hashim
selama ini. Namun, apakah daya Pak Hashim, anak tunggal lelakinya yang telah
diberi cukup kasih sayang dan pendidikan iaitu Mohd Aiman yang kini berusia
22 tahun sedang berfoya-foya di pentas dunia ini. Pak Hashim runsing memikirkan
hal anak lelaki kesayangannya itu. Aiman tidak seperti kakaknya. Kakaknya telah
banyak meraih anugerah-anugerah cemerlang. Dikenali ramai sebagai seorang
ahli usahawan wanita yang berjaya.

 
        Perwatakan Aiman mula berubah sejak dia pulang dari tempat pengajiannya
iaitu kota London. Pak Hashim telah banyak memberi kata-kata nasihat dan
peransang kepada Aiman. Tetapi, Aiman tidak mempedulikan nasihat itu semua.
Sebaliknya, Aiman mencerca ayahnya pula. Kesabaran Pak Hashim tergugat
akhirnya apabila anaknya mencerca ia. Pak Hashim telah mengusir Aiman dari
teratak buruknya. Kini, Aiman tidak mempunyai tempat berteduh lagi. Namun
dia tidak kisah itu semua. Apa yang ada di dalam hatinya sekarang ialah mencari
kegembiraan semula. Aiman kini bercampur dengan orang-orang yang tidak
sepatutnya dia campuri. Aiman kini terlibat dengan kegiatan penyeludupan dadah.
Dia dihantar ke penjara untuk menerima hukuman akibat daripada perbuatan
terkutuknya itu. Pak Hashim merasa sungguh sedih dan terharu mendengar
utusan itu.

 
        Malang sungguh nasib Pak Hashim! Bak kata pepatah Melayu " Sudah jatuh
ditimpa tangga". Pak Hashim kini mengalami lagi satu cabaran dalam riwayatnya.
NurAtikah iaitu permata sulungnya telah meninggal dunia kerana mengalami barah
otak. Penyakitnya itu telah menular ke dalam otaknya sejak dia berumur 25 tahun
lagi. Tetapi, Nur Atikah tidak mahu menceritakan tentang penyakitnya itu kepada
ayahnya. Dia tidak mahu ayahnya berasa susah hati kerana penyakitnya itu. Dia
tahu, ayahnya telah mendidik dan membesarkannya dari kecil sehinggalah dia
dewasa. Tapi, apakan daya anak perempuan itu, semuanya telah berlalu. Dia
hanya sempat berdoa semoga ayahnya dapat hidup dengan aman dan bahagia.
Pada tanggal 31 Januari, 1986, Atikah telah menghembuskan nafasnya yang
terakhir di bilik rawatan terapi Hospital Universiti. Pak Hashim telah kehilangan
kedua-dua permata hatinya itu. Permata itu tidak ternilai harganya. Kini, Pak
Hashim tiada tempat untuk mengadu nasib lagi. Dia hanya mengikut jejak langkah
kakainya saja.

 
        Kini, pada setiap kali tanggal 31 Januari setiap tahun, Pak Hashim akan
sentiasa berada di tepi pantai yang tenang dan aman sambil memerhati Sang Suria
yang hendak menyembunyikan diri di ufuk barat. Kedatangannya di situ bagaikan
membawa seribu makna. Dia akan mengingati hari yang penuh bersejarah buat
dirinya itu. Setiap detik yang berlalu tidak bermakna buatnya lagi. Pak Hashim
kini berumur 60 tahun dan dia diasuh oleh penjaga rumah orang-orang tua.
Di rumah orang-orang tua itulah Pak Hashim menghabiskan sisa-sisa hidupnya.

 
Oleh : Juliana (2 K 9)